Sunday, November 06, 2011

Generasi Muda yang Diperjudikan...

Pendidikan di negara Malaysia sering berubah bagaikan negara yang berempat musim. Sekejap luruh, sekejap bersalji, kembalinya matahari yang terik memancar, senyuman orang ramai terukir tatkala melihat bunga-bunga yang kembang mekar. Walau bagaimanapun, apabila ada sahaja orang kenamaan yang menaiki takhta empuk di kabinet, musimnya berubah entah menjadi tengkujuh atau kemarau mengikut musim khatulistiwa. Begitulah tidak stabilnya keadaan. Dalam masa yang singkat, pelbagai program diperkenalkan untuk kebaikan dan kemajuan generasi muda. Tampaknya, generasi muda ini bagaikan tikus putih di dalam makmal yang terpaksa akur terhadap segala perubahan. Protes yang dijalankan oleh golongan yang tahu akan kesan negatif sesuatu perubahan mendadak menjadi suara yang sayup-sayup kedengaran dan dinyahkan sama sekali. Suara rakyat menjadi tidak penting lagi. Setiap yang dilakukan oleh manusia yang berkepala besar bagaikan makhluk asing menjadi arahan yang perlu diikuti. Sememangnya dua matapelajaran yang begitu penting patut diteruskan dalam bahasa antarabangsa. Apakah yang menjadi kayu pengukur bagi sesebuah masyarakat yang maju? Tentunya generasi muda yang dapat bersaing di persada dunia.






Sungguhpun saya mempelajari kesemua matapelajaran dalam bahasa kebangsaan, tetapi apabila perubahan positif dilakukan, iaitu dengan mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, saya pasti ramai yang mengalu-alukan perubahan positif tersebut. Mereka yang meneruskan pelajaran di menara gading tidak perlu menggaru-garu kepala apabila melihat nota-nota dan buku-buku ilmiah yang disediakan dalam bahasa Inggeris. Semuanya berjalan dengan lancar. Kini, apabila pihak yang memegang kayu sakti dan membuat keputusan muktamad untuk berundur dan mengembalikan sebuah generasi katak di bawah tempurung, apa tidaknya golongan yang bangkit untuk memprotes.

Pengemudi bahtera negara sering meminta golongan yang bijak pandai agar pulang ke tanah air untuk menyumbangkan kebijaksanaan terhadap negara sendiri, tetapi dengan perubahan sedemikian, mahukah mereka membawa anak-anak kecil mereka untuk mengikuti pendidikan yang mundur ini? Penduduk di negeri Johor lebih beruntung kerana dapat menghantar anak-anak ke Singapura untuk belajar. Mengapakah pendidikan yang dianggap begitu penting perlu berlandaskan politik? Kenapa tidak mahu dipertimbangkan semula keputusan yang begitu penting? Dengan mempelajari kedua-dua Sains dan Matematik tidak bermaksud bahasa Malaysia akan dilupakan. Mengapa tidak mahu melahirkan generasi yang lebih kompetitif?

Setelah meninggalkan bangku sekolah sedekad, saya masih dapat menulis dalam bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia tidak akan dilupakan, bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang amat diperlukan untuk bersaing di dunia ini yang semakin merimaskan. PPSMI harus diteruskan. PPSMI merupakan salah satu sumbangan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang terbesar kepada rakyat sebelum berundur daripada takhta beliau. Masalah sebenar dalam kesemua hal ini bukan disebabkan oleh generasi muda tidak dapat mengikuti pelajaran dalam bahasa Inggeris tetapi masalahnya terletak pada tenaga pengajar. Majoriti tenaga pengajar yang perlu menggunakan bahasa Inggeris di dalam kelas menjadi bahan gelak tawa anak-anak muda. Sungguh memalukan... dengan ejaan Inggeris yang salah, bacaan yang tidak tepat, dan penggunaan ayat yang menimbulkan tanda soal kepada anak-anak muda. Tenaga pengajar masa kini tidak mampu menguasai bahasa Inggeris kerana kesilapan pengemudi negara pada masa dahulu yang terlalu mengagung-agungkan bahasa kebangsaan sehingga sistem pendidikan diubah kepada bahasa Malaysia dalam segala jua matapelajaran dan seterusnya mengabaikan bahasa Inggeris selama sekurang-kurangnya 15 tahun. Ini telah mengakibatkan kemerosotan yang begitu ketara dan tenaga pengajar pada masa kini adalah produk kesalahan mengubah sistem pendidikan yang berasaskan bahasa kebangsaan. Tidak nampakkah kalian dengan kesilapan yang begitu ketara? Nampaknya manusia tidak mendapat iktibar daripada kesilapan yang lalu. Tun Dr. Mahathir Mohammad sedar akan masalah yang menjadi kanser masyarakat dan beliau mengambil langkah besar untuk membaiki keadaan tersebut, namun pemegang kayu sakti kini telah membuat keputusan muktamad untuk mengorak langkah ke belakang semula. Majulah Malaysia... majunya di mana, tidak tahu pula sahaya.

No comments: